Penjagaan Si Bulus Kecil

Assalamualaikum & Salam Sejahtera...

Selalu kita tidak akan menghadapi masalah jika menjaga si bulus comel yang berumur 3 bulan keatas kerana si bulus ini telah pandai menguruskan diri mereka sendiri. Bagi si bulus 3 bulan ke bawah ini selalunya akan di bawah pemantauan si ibu dari segi pemberiaan susu & penghadaman. Namun, bagaimana dengan si bulus kecil yang kehilangan ibu seawal usia 3 bulan ke bawah ini?

Dibawah digariskan keperluan si bulus kecil ini namun, ia bergantung kepada kekuatan si bulus dalam meneruskan kehidupan. Kita hanya dapat membantu sebaik mungkin. Ini kerana si bulus kecil memerlukan ibunya dari lahir sehingga umur menjangkau 3 bulan.

Seperti seorang bayi, si bulus kecil memerlukan penjagaan yang rapi & sempurna. 

1. Pemakanan

Si bulus yang baru lahir perlu makan setiap 2-3 jam. Mereka mempunyai perut yang kecil & memerlukan jumlah makanan yang sedikit tetapi berkala. Jangan berikan susu lembu pada si bulus kecil ini kerana ia akan menyebabkan sembelit & kehilangan air pada badan. Anda perlu menggunakan susu yang dirumus khas untuk anak kucing. Susu khas ini boleh diperolehi di klinik vetrinar dengan pelbagai jenama.



Botol susu yang khas juga digunakan untuk menyusu si bulus (saiznya kecil). Susu perlu diberikan dalam keadaan suam, tetapi bukan panas, ianya sama sepertimana kita berikan kepada bayi manusia.


Kaedah mudah penyusuan anak kucing ialah menggunakan picagari.


2. Perkumuhan


Seperti manusia, anak kucing perlu dilatih membuang air besar dan kecil. Anak kucing tidak boleh mengawal perkumuhan sehinggalah berumur 4 minggu. Bermula dari kelahiran sehingga minggu ke 4, ibu kucing akan merangsang sistem perkumuhan anaknya untuk membuang dengan cara menjilat kemaluan anak kucing.
Anda mungkin perasan, kenapa anak kucing yang berusia beberapa hari kelihatan bersih seperti tidak ada membuang air besar dan kecil. Sekiranya ada, kesan najis hanya terpalit pada kotak atas kertas yang menjadi alas tidur kucing tersebut.
Ini kerana ibu kucing akan menjilat kemaluan anaknya untuk merangsang si comel ini membuang air. Najisnya yang keluar pula akan dijilat dengan penuh kasih sayang oleh si ibu sebagai proses membersih & mencuci.
Dengan ini, anda boleh meniru cara rangsangan ini dengan menggunakan kain lembut yang suam & basah atau menggunakan putik kapas (juga suam & basah). Balikkan badan anak kucing itu & secara lembut, sapukan pada kemaluannya sehingga kencing atau najis itu keluar. Ini perlu dilakukan selepas menyusu.
Setelah selesai, jangan lupa mencuci kesan najis itu kerana jika tidak ia menimbulkan masalah lain seperti jangkitan kuman di bahagian kemaluan.



3. Bermanja
Si bulus kecil tidak mempunyai lemak pada badan untuk mengekalkan suhu tubuhnya. Si bulus ini biasanya bermain-main sesama sendiri bersebelah ibunya untuk berkongsi haba. Sekiranya anda memelihara si bulus yang tiada ibu, anda perlu memberi haba ini menggunakan botol mengandungi air panas atau pad pemanas .
Jika menggunakan pad pemanas, tetapkan suhunya pada kadar sederhana. Gunakan tuala atau kain tebal sebagai pelapik antara botol panas atau pad pemanas tadi bagi memberikan kesan haba yang bersesuaian. Pastikan si bulus mempunyai ruang untuk merangkak keluar dari pad pemanas atau botol jika ia merasa terlalu panas.
Si bulus perlu berada di kawasan yang dikekangkan seperti dalam kotak kecil dialas dengan kain di kawasan yang tidak berhabuk.
Si bulus tanpa ibu ini diberi makan pejal seperti anak kucing biasa. Boleh juga dibiasakan dengan sedikit makanan berdaging yang dirumus khas untuk kucing yang berumur 4 minggu. Pada peringkat usia ini juga galakkan si bulus kecil menggunakan kotak najis.



Masalah perilaku memang biasa berlaku bagi si bulus kecil tanpa ibu kerana ia tidak dilatih oleh kucing dewasa lain. Haiwan ini cenderung menggigit dengan kuat dan adakalanya suka bermain dengan kasar. Tingkah laku sama juga boleh dilihat pada si bulus yang dipelihara ibunya atau kucing dewasa lain.
Kucing lain akan mengajar 'budi bahasa' dan memberi reaksi dengan menggigit balas, mencakar balas dan 'kepimpinan melalui tauladan'. Malangnya si bulus kecil yatim yang sendirian diri tidak akan menerima pelajaran 'budi bahasa' seperti ini. Mendedahkan si bulus yatim kepada manusia lain atau kucing lain pada umur muda akan membantu membetuk perilaku yang baik. Jangan biarkan si bulus kecil ini menggigit atau bermain secara agresif kerana ini hanya mendorong perilaku buruk.

Sekadar perkongsian kepada pemilik si bulus comel ini.



Comments

Popular posts from this blog

Cat Litter: Pine Wood

Kibble: Taste Of The Wild (TOTW)

Kibble: Nature's Protection